Monday, September 04, 2006

Biblioholisme


Dulu-dulu (awal bulan Mei) masa saya dah jadi pasif dalam penulisan ni, saya terbaca akhbar KOSMO yang bertarikh 3 Mei 2006 yang menyiarkan artikel mengenai dunia biblioholisme. Artikel ini ditulis oleh Shahrom TM Sulaiman di mana beliau adalah seorang pensyarah yang sedang bertugas di UITM. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang kepustakawanan dan pernah bertugas sebagai pustakawan di Perpustakaan Negara Malaysia selama 10 tahun.

Tentu sahabat-sahabat tertanya-tanya apa maksud biblioholisme. Awas! Jangan pula anda tertukar dengan Bilbo. Bilbo adalah nama salah seorang watak dalam Lord Of The Rings. Menurut artikel ini biblioholisme adalah satu fenomena kecanduan luar biasa terhadap buku, bahan bacaan dan dunianya. Manakala para pencintanya disebut sebagai Biblioholis. Ada juga yang menamakan mereka sebagai Biblioholic (seperti alcoholic untuk penagih alkohol dan workaholic untuk orang yang gila kerja).

Dalam artikel ini juga ada menceritakan beberapa watak dalam sejarah biblioholisme yang dilabel sebagai biblioholic. Antaranya ialah Boulard, seorang pakar perundangan Perancis pada abad ke-18, begitu bernafsu membeli buku sehingga rumahnya tidak cukup ruang untuk menyimpan buku-buku dan terpaksa membeli enam buah rumah lagi untuk tujuan tersebut. Sun Ching seorang berbangsa Cina yang hidup pada abad ke-10 Masihi, sanggup mengikat rambut panjangnya pada tiang katil untuk menjaga kepalanya agar terus tegak dan dapat terus membaca. Seorang berbangsa Belanda, Fredick Hickles sanggup menyorok buku di sebuah toko buku di Amsterdam (toko ialah kedai. Kalau ada orang letak nama kedainya Toko Bin Harun maknanya Kedai Bin Harun bukan orang itu yang bernama Toko) supaya orang lain tidak dapat membelinya kerana buku itu hanya ada satu naskhah dan ketika itu beliau tidak mempunyai cukup wang untuk membelinya.

Dalam dunia Islam terlalu ramai sarjana Islam yang dilabel sebagai biblioholic. Antaranya Ibnu Qayyim al-Jauzi yang telah mengarang sebanyak 60 lebih buah kitab dalam pelbagai ilmu. Salah satu kitabnya ialah Zaadul Ma'ad di mana beliau mengarang kitab ini di atas unta sepanjang perjalanan musafirnya. Bayangkan bagaimana Ibnu Qayyim menulis kitab dalam perjalanan tanpa merujuk kepada rujukan dari kitab-kitab hadis, fiqh dan lain dan hanya berpandukan kepada keluasan ilmu yang ada padanya. Akan tetapi kitab Zaadul Ma'ad adalah satu kitab yang telah menjulang nama Ibnu Qayyim serta menjadi ikon kepadanya. Kitab ini merangkumi pelbagai ilmu seperti ulum al-Quran, ulum al-Hadis, fikah, akidah, dan lain-lain lagi. Jelaslah di sini bahawa ilmuwan dan cendekiawan Islam tiada tolok bandingnya.

Antara buku-buku yang menceritakan tentang dunia biblioholisme adalah Biblioholism: The literary Addiction (2001) oleh Tom Raabe, A Gentle Madness: Bibliophiles, Bibliomanes and the Eternal Passion for Books (1999) dan Patience and Fortitude (2003) karangan Nicholas A. Barbanes. (Tapi sayang semua buku ini dalam bahasa Inggeris dan aku cukup bebal dengan bahasa ini).

Menurut artikel ini lagi seseorang yang terkena penyakit biblioholisme ini dapat dikenal pasti dengan beberapa symptom yang dialami oleh biblioholic. Antaranya:

  1. Pernah membeli buku yang diminati sebanyak dua kali
  2. mengutamakan toko-toko buku dari kedai-kedai lain ketika pergi ke pusat membeli belah
  3. dalam beberapa situasi pernah seseorang itu tidak mengingati jumlah buku yang dimiliki dan berapa wang yang dibelanjakan untuk membeli buku.
  4. sanggup menukar hajat membeli dari membeli barang keperluan lain dengan membeli buku sehingga terjejas bajet bulanan.
  5. pernah berjaya mendapatkan buku yang dihajati ketika pekerja toko buku gagal mencari atau mendapatkannya.
  6. memegang buku serta membacanya apabila ada iklan semasa menonton televisyen.
  7. tidak menyedari bahawa dia telah membeli terlalu banyak buku dan disimpan di perpustakaan peribadi tetapi tidak sempat membacanya.
  8. mengembara dan bertugas di luar daerah tanpa pernah melupakan buku di dalam beg.
  9. mendapat teguran dari orang terdekat kerana terlalu banyak membeli buku sehingga beranggapan tiada benda lain yang lebih penting melainkan buku.

Sekiranya beberapa senario atau keadaan di atas pernah berlaku kepada anda, maka ANDA sebenarnya seorang biblioholic. Perkara-perkara di atas mengingatkan saya kepada sahabat-sahabat semasa saya menuntut di Yaman. Antara biblioholic yang agak kronik ialah Pok Se, Deli, Syeikh Ali, Pok Tiri, Ayah Wan dan beberapa orang lagi. Salah seorang dari mereka ini pernah menghabiskan duit pemberian dermawan dengan membeli kitab-kitab sehingga tiada ruang yang selesa lagi untuk dia tidur. Ada juga di kalangan mereka yang sanggup mengorbankan keenakan makan semata-mata untuk membeli buku. Tak kurang juga ada mereka yang suka membaca dan membuat rujukan sehingga kitab-kitab bertaburan di atas lantai sehinggalah salah seorang sahabat menyindir beliau dengan berkata, "ini bilik ke stor". Walau pun keadaan bilik yang berkubang dan bersepah dengan buku-buku serta dilabelkan sebagai "anti sosial", namun kebiasaannya keberkesanan buku kepada biblioholic dapat dikesan dari segi percakapannya, pemikirannya, penulisannya, pembawaannya dan penerapan ilmu di dalam kehidupannya. Jelas di sini bahawa menjadi biblioholic lebih baik dari menjadi orang suka membuang masa dengan benda-benda yang tak berfaedah.

Akan tetapi ilmu Islam bukan sekadar dipelajari melalui proses pembacaan sahaja, tetapi perlulah melalui proses pembelajaran yang berdisiplin serta mengikut aturan ilmu yang betul dengan cara berguru. Berimanlah dengan sabda nabi: "sesungguhnya ilmu itu dengan belajar" (hadis riwayat Bukhari, kitab al-'Ilm).

1 comment:

Anonymous said...

Thanks so much. Banyak membantu saya. Baru saya tahu apa itu biblioholisme.